Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah mengizinkan kami Al-Baghdadi Cawangan Pelangi Semenyih melangsungkan program sempena cuti sekolah pada 13-15 Mac 2012 dengan jayanya. Kelas Intensif Solat yang mana telah berlangsung selama 3 hari ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya dari golongan kanak-kanak yang berusia lingkungan 7-17 tahun. Murid-murid menerima 2 jenis buku (modul) yang berbeza. Buku 1, banyak mendedahkan tentang Thaharah iaitu kebersihan diri yang menerangkan Jenis-Jenis Air, Jenis Hadas & Jenis-Jenis Najis. Selain daripada itu, di dalam buku 1 ini juga terdapat panduan lengkap tentang Cara-Cara Mengambil Wuduk dengan betul dan tepat. Malah ianya juga menceritakan tentang bagaimana wuduk itu boleh terbatal serta hukum-hukum yang berkaitan dengan wuduk. Tajuk & Informasi lengkap berkaitan Tayammum jua terdapat di dalam buku 1. Manakala, buku 2 pula banyak menyentuh mengenai solat bermula dengan syarat sah & syarat wajib untuk menunaikan solat . Ini disebabkan agama Islam memberi rukhsah-rukhsah kepada umatnya bagi menyempurnakan solat 5 waktu sehari semalam sekiranya berlaku uzur dan sebagainya. Dengan kedua-dua buku (modul) ini, ianya dapat dijadikan bahan rujukan oleh pelajar apabila mereka sudah melengkapkan Kelas Intensif Solat selama 3 hari ini.
Setelah, tamat dengan jayanya Kelas Intensif Solat ini, ALC Pelangi Semenyih menyediakan borang penilaian untuk menilai pelajar-pelajar yang telah mengikuti program ini supaya kedua ibu bapa mereka tidak meragui akan kebolehan anak-anak mereka untuk menunaikan solat 5 waktu sehari semalam setelah mengikuti program ini. Tidak ketinggalan, ketika program ini dijalankan, para Ustaz memastikan setiap pelajar mengetahui kesemua cara-cara yang berkenaan dalam buku (modul) dengan menunjukkan dan meminta pelajar agar sama-sama melakukan praktikal di waktu slot (PRAKTIKAL). Dengan memperolehi daripada teori-teori yang telah disediakan, pelajar mampu melakukan praktikal dengan lancar dan mudah. Malah mereka akan lebih faham tentang teori-teori yang mereka telah pelajari. Sekiranya terdapat pelajar yang lemah, pihak kami akan memberi bantuan supaya pelajar-pelajar kami tidak pulang dengan 'tangan' kosong. Oleh itu, pihak kami menyediakan dan membuat kelas tambahan kepada para pelajar secara percuma.
Alhamdulillah, Insya'Allah pada bulan akan datang, ALC Pelangi Semenyih akan melancarkan lagi Kelas Intensif Solat Bersempena dengan Cuti Sekolah demi menanamkan lagi sifat taqwa terhadap generasi pemangkin ummah masa hadapan.
